Apa Itu Gigi Rosak dan Kenapa Ia Sering Berlaku kepada Kanak-Kanak?
Gigi rosak adalah sejenis kerosakan pada struktur gigi di bahagian enamel dan dentin gigi yang berlaku apabila bakteria dalam plak menghasilkan asid yang melarutkan mineral dalam gigi. Proses ini boleh menyebabkan pembentukan lubang atau kaviti dalam gigi.
Walau bagaimanapun, kerosakan gigi bukan semata-mata akibat pengumpulan plak. Ia terhasil daripada interaksi faktor yang kompleks, termasuk diet, kebersihan mulut, genetik, dan keadaan perubatan tertentu. Dalam erti kata lain, kerosakan gigi disebabkan oleh gabungan faktor, yang masing-masing menyumbang kepada pereputan.
Oleh itu, sesiapa yang ada gigi boleh mengalami masalah ini tapi ia lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak daripada orang dewasa. Ini enamel gigi susu mereka secara semula jadi lebih nipis berbanding gigi kekal orang dewasa. Ini bermakna lapisan pelindung gigi mereka ditembusi dengan lebih mudah, menyebabkan kerosakan cepat mencapai dentin dan merebak ke saraf gigi, yang boleh membawa kepada sakit gigi yang teruk, jangkitan, dan pembentukan lubang yang besar (kaviti) dalam masa yang singkat.
Dalam artikel ini, anda akan mengetahui dengan lebih mendalam tentang punca-punca spesifik yang membawa kepada kerosakan gigi kanak-kanak, kaedah rawatan yang tersedia, serta langkah-langkah praktikal untuk mencegah gigi anak rosak teruk.
Punca Gigi Budak Rosak — Dari Susu Botol Hingga Gula Berlebihan

Kerosakan gigi pada kanak-kanak berpunca dari tabiat hidup yang tak baik dan diet yang kurang sihat. Antaranya adalah dengan memberi anak itu menghisap botol susu sambil tidur, memakan makanan yang bergula secara berlebihan, kurang minum air kosong dan tidak menggosok gigi dengan cara yang betul.
Tidur dengan susu botol boleh rosakkan enamel gigi anak
Adakah anda tahu bahawa memberi bayi atau kanak-kanak anda menghisap botol susu ketika tidur boleh merosakkan gigi mereka? Ketika anak anda sedang tidur sambil menghisap botol susu, cecair susu itu akan mengumpul di sekeliling gigi mereka. Formula susu yang anda sering beli di pasaran, selalu mengandungi gula untuk membuat ia sedap untuk anak-anak anda minum.
Jadi semasa anak anda sedang tidur dengan botol susunya, pengeluaran air liurnya akan berkurangan dan cecair bergula itu akan menyelaputi giginya untuk tempoh masa yang lama. Ini membolehkan bakteria di dalam mulut untuk bertindak balas dengan gula lalu menghasilkan asid secara berterusan. Asid ini akan menyerang dan merosakkan enamel gigi anak anda terutamanya pada gigi depan bahagian atas. Keadaan ini dikenali sebagai Karies Botol Susu.
Pengambilan gula berlebihan menyebabkan gigi rosak hitam
Kenapa makanan atau minuman bergula merosakkan gigi terutamanya pada kanak-kanak ? Gula ni macam magnet yang menarik semua bakteria buruk di mulut untuk berkumpul dan kemudian bakteria ini akan menghakis enamel gigi kita dengan menghasilkan asid menggunakan gula tersebut. Lagi banyak gula ada di dalam mulut, maka lagi banyaklah asid yang dihasilkan, dan semakin cepat gigi kita rosak.
Keadaan ini adalah sebab utama gigi menjadi hitam dan berlubang. Ia sering berlaku pada kanak-kanak disebabkan diet pemakanan mereka yang tinggi gula. Antara makanan atau minuman tinggi gula yang sering dimakan kanak-kanak adalah:
- Gula-Gula
- Coklat
- Aiskrim
- Minuman Jus / Susu / Berkarbonat
Untuk pengetahuan umum, coklat (coco) dengan sendirinya tidak merosakkan gigi tetapi kandungan gulanya yang tinggi di dalamnya yang menyebabkan gigi rosak. Coklat yang dijual di dalam pasaran hari ni mengandungi tahap gula yang tinggi dan coklat jenis inilah yang menyebabkan gigi rosak pada kanak-kanak hari ni.
Kurang Minum Air Kosong
Salah satu pertahanan semula jadi mulut yang paling penting adalah air liur. Air liur umpama perisai yang sentiasa bersedia untuk meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria. Namun, apabila anak anda kurang minum air kosong, air liur akan berkurangan dan menyebabkan mulut mereka kering.
Dalam keadaan ini, air liur mereka tidak dapat melindungi gigi mereka dengan sepenuhnya lalu ia membiarkan asid untuk berkumpul dan mempercepatkan proses hakisan enamel. Mujurlah, air kosong sendiri adalah pembilas semula jadi yang membantu membersihkan gigi dan menstabilkan keseimbangan ph dalam mulut mereka.
Cara Gosok Gigi Yang Tidak Betul
Ibu bapa selalu terlepas pandang untuk mengajar anak mereka menggosok gigi dengan cara yang betul. Ramai ibu bapa fikir memberus gigi 2 kali sehari selama 2 minit sudah mencukupi, tetapi jika tekniknya tidak betul ia akan meninggalkan sisa makanan dan bakteria pada gigi. Sisa ini akan membentuk lapisan yang melekat yang dikenali sebagai plak. Plak ini sangat berbahaya kerana ia akan mengeras menjadi karang gigi, dan ia menjadi tempat pembiakan yang sempurna untuk bakteria perosak gigi.
Selalunya, kanak-kanak yang dibawah umur 6 tahun tidak boleh memberus gigi dengan baik dan perlukan bimbingan ibu bapa mereka sehingga mereka mahir memberus gigi dengan betul. Ini antara cara yang paling efektif untuk mengelakkan gigi mereka rosak di rumah.
Tanda-Tanda Awal Gigi Kanak-Kanak Rosak

Mengesan kerosakan gigi pada peringkat awal adalah kunci utama untuk menyelamatkan gigi susu anak anda kerana kanak-kanak mungkin tidak dapat menyatakan kesakitan mereka dengan jelas. Jadi ibu bapa perlu sentiasa waspada terhadap perubahan fizikal dan tingkah laku anak mereka.
Kerosakan gigi bermula dengan perubahan warna pada permukaan gigi. Gigi depan adalah gigi yang paling kerap terkesan dan menunjukkan perubahan. Antara tanda-tanda awal karies gigi kanak-kanak adalah:
- Tompok atau garisan putih: Ini menunjukkan kehilangan mineral enamel.
- Tompok kuning dan coklat: Ini menandakan kerosakan yang telah menembusi lapisan enamel.
- Gigi yang senang patah atau rongak: Apabila kerosakan meluas, struktur gigi menjadi lemah dan gigi susu itu boleh patah atau tertanggal
- Gigi sensitif: Rasa ngilu apabila terdedah kepada panas atau sejuk
- Nafas berbau: Bau busuk yang berterusan, berpunca daripada pengumpulan sisa makanan dan bakteria dalam kawasan gigi yang mula reput.
Ibu bapa mesti selalu memeriksa gigi anak mereka dari semasa ke semasa dengan mengangkat bibir anak itu.
Cara Elak Gigi Rosak di Kalangan Kanak-Kanak
Untuk mencegahan kerosakan gigi pada kanak-kanak, ia memerlukan penglibatan dan pemantauan aktif daripada ibu bapa dengan gabungan penjagaan harian yang konsisten dan pemantauan diet. Antara cara-cara untuk elakkan kerosakkan gigi pada kanak-kanak ialah dengan:
Gosok gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida
Ini adalah perkara yang paling asas yang akan memberi impak besar kepada gigi anak anda. Pastikan si kecil memberus gigi mereka sekurang-kurangnya dua kali sehari selama dua minit penuh menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida kerana ia bantu menguatkan enamel gigi. Ibu bapa juga perlu bantu anak-anak mereka untuk memberus gigi dengan cara yang betul untuk membersihkan plak yang sering tersembunyi di hujung tepi gusi.
Hadkan snek manis dan minuman bergula

Memang mencabar untuk mengawal selera manis anak-anak, tetapi diet rendah gula adalah perisai terbaik. Ibu bapa perlu hentikan tabiat membiarkan anak tidur dengan botol susu, dan sebaliknya, tukar kepada cawan apabila anak mencecah umur antara 1 hingga 3 tahun untuk membiasakannya minum air tanpa botol susu.
Selain itu, ibu bapa perlu mengehadkan pengambilan makanan dan minuman tinggi gula yang sering menjadi punca kerosakan, seperti gula-gula, coklat, aiskrim, dan minuman jus, susu (bergula) atau berkarbonat. Mengawal item-item ini sangat penting kerana gula melekat pada gigi dan menjadi makanan utama bakteria.
Sebagai ganti kepada minuman manis, galakkan anak-anak anda untuk minum air kosong (air putih) sebab ia tidak mengandungi gula atau asid dan ia bantu membilas sisa makanan dan gula dari permukaan gigi. Bagi anak-anak yang dah besar sikit, anda boleh mengajarnya untuk menggunakan ubat kumur-kumur sekali ke dua kali sehari untuk membersihkan giginya dari sisa makanan, gula dan bakteria. Ubat kumur-kumur ni akan melambatkan atau menghentikan proses pembentukkan plak dan kehakisan gigi daripada asid bakteria.
Latih anak untuk berkumur-kumur setiap kali selepas makan
Selain mengawal makanan manis, satu tabiat mudah yang anda boleh ajarkan kepada anak ialah berkumur dengan air kosong setiap kali selepas makan, terutamanya selepas menikmati snek bergula. Dengan berkumur-kumur selepas makan, ia membantu membersihkan asid dan gula pada gigi sebelum bakteria dapat bertindak.
Jadikan ini sebagai rutin harian anak anda seperti rutin membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Walaupun anak anda tidak mahir lagi untuk menggosok giginya sendiri, rutin ini akan melambatkan proses pembentukan plak dan kerosakan gigi anak anda.
Biasakan anak jumpa doktor gigi setiap 6 bulan
Bawalah anak anda ke klinik gigi setiap 6 bulan sekali untuk buat pemeriksaan gigi sebagai rutin pencegahan awal untuk gigi rosak. Dengan cara ni, doktor gigi boleh mengesan masalah gigi pada peringkat awal dan memberikan rawatan pencegahan yang diperlukan. Selain itu, rutin ini dapat membiasakan anak-anak anda supaya mereka tidak takut untuk membuat pemeriksaaan gigi di klinik pergigian.
Soalan Lazim Tentang Gigi Budak Rosak
Adakah gigi susu rosak boleh pulih semula?
Tidak. Gigi susu yang telah rosak akibat kerosakan gigi (karies) tidak akan pulih atau tumbuh semula seperti sedia kala. Namun, rawatan awal oleh doktor gigi boleh membantu menghentikan kerosakan daripada menjadi lebih teruk. Antara rawatan yang biasa dilakukan termasuklah tampalan atau, dalam kes yang lebih serius, pencabutan. Penjagaan gigi yang baik sejak awal sangat penting bagi memastikan kesihatan gigi kekal terjaga sehingga gigi kekal tumbuh dengan sempurna.
Apa rawatan terbaik untuk gigi rosak budak?
Rawatan bergantung pada tahap kerosakan. Antara rawatan utama termasuk:
- Tampalan gigi: Jika kerosakan belum terlalu teruk, doktor gigi akan menampal gigi tersebut.
- Rawatan saluran akar kanak-kanak (pulpotomi): Untuk gigi susu yang hampir mati tetapi masih boleh diselamatkan.
- Cabut Gigi: Jika kerosakan terlalu teruk dan tidak boleh diselamatkan.
Ia sangat penting untuk tidak membiarkan gigi rosak itu berlarutan kerana ia boleh menyebabkan jangkitan dan menjejaskan gigi kekal.
Patutkah gigi susu yang rosak dicabut?
Tidak, semua gigi susu yang rosak tak perlu dicabut. Cabutan gigi susu hanya perlu dilakukan kalau:
- Gigi tersebut tidak boleh diselamatkan.
- Ia menyebabkan kesakitan atau jangkitan.
- Ia mengganggu pertumbuhan gigi kekal.
Namun, doktor gigi akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan gigi susu kerana ia penting untuk membantu anak mengunyah, bercakap dengan betul, dan menjadi penunjuk laluan untuk gigi kekal tumbuh dengan betul.
Adakah kerosakan gigi susu boleh menjejaskan gigi kekal?
Ya, kerosakan gigi susu yang teruk (terutamanya jika dijangkiti) boleh memberi kesan negatif kepada gigi kekal yang sedang berkembang di bawah gusi. Jangkitan atau nanah yang merebak dari akar gigi susu yang rosak boleh merosakkan tunas gigi kekal, menyebabkan ia tumbuh dengan enamel yang kurang sempurna, atau tumbuh secara tidak teratur (berlapis).
Pada usia berapa anak saya perlu mula berjumpa doktor gigi?
Kanak-kanak disarankan untuk mula berjumpa doktor gigi seawal hari lahir pertama mereka, atau dalam tempoh enam bulan selepas gigi pertama tumbuh. Lawatan awal ini bukan untuk rawatan, tetapi untuk pemeriksaan, nasihat penjagaan, dan untuk membiasakan anak anda dengan persekitaran klinik.

Dapatkan Pemeriksaan Gigi Kanak-Kanak Hari Ini
Menjaga gigi anak bukan hanya soal kesihatan mulut tapi ia juga tentang membina keyakinan dan tabiat baik sejak kecil. Jangan tunggu sehingga anak mengadu sakit gigi, ambiklah tindakan awal supaya anda boleh mencegah masalah yang lebih besar di kemudian hari.
Di Dental Home, kami faham bahawa lawatan ke klinik gigi boleh jadi pengalaman yang mendebarkan untuk kanak-kanak. Sebab itu, persekitaran kami direka khas agar mesra kanak-kanak dan selesa, dengan doktor gigi pediatrik yang berpengalaman dalam mengendalikan pesakit kecil dengan penuh sabar dan perhatian. Tempah slot pemeriksaan gigi anak anda hari ini dan mulakan langkah pertama ke arah senyuman sihat dan yakin!

